KESIMPULAN Ayat dan hadits-hadits tersebut di atas memberi pelajaran kepada kita bahwa dalam mengamalkan puasa Ramadhan kita perlu melaksanakan adab-adab sbb :
|
Tuesday, September 18, 2007
Adab-adab puasa Ramadan
Amalan Dalam Bulan Ramadan
- Solat sunat Subuh dan fardu Subuh, kemudian wirid biasa serta doa sesudahnya
- Zikir
- La Ilahaillahllah (sebanyak-banyaknya)
- Allahu Akbar - Seratus kali sebelum naik matahari (tiada Tuhan melainkan Allah)
- Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Rasullullah, pada setiap saat dan nafas sebanyak bilangan luasnya ilmu Allah)
- Tiada Tuhan melainkan Allah yang berkuasa memerintah yang sebenarnya lagi nyata)
- TASBIH: (100 kali dikurniakan sepuluh ribu kebajika, dihapuskan sepuluh ribu kejahatan, diangkat sepuluh ribu darjat) (Maha suci Allah dan segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah , Allah Maha Besar, tiada suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang maha tinggi lagi maha agung)
- SELAWAT : Sekurang-kurangnya 10 atau 100 kali
- SOLAT SUNAT
- Solat sunat Isyraq
- Solat sunat Dhuha
- Solat sunat Tasbih dan
- Membaca al-Quran
- Membaca doa taubat `Akasyah (memohon keampunan taubat dosa-dosa besar)
TENGAH HARI
Solat sunat Zuhur - Fardhu Zuhur - Sunat Zuhur serta doa
ISTIGHFAR:
(a) 70 kali/100 kali) (Aku memohon keampunan Allah dan aku bertaubat kepadNya)
(b) (70/100 kali: Pohon keampunan ibu bapa) (yang bermaksud: Tuhanku,ampunilah bagiku bagi dua ibubapaku dan rahmatilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku ketika kecil.
(c) (25 kali:wasiat Nabi kepada Saiyidina Ali supaya dikasihi Allah (Aku memohon keampunan kepada Allah yang maha agung bagiku dan bagi dua ibu bapaku dan bagi sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat (lelaki dan perempuan) hidup dan mati)
PETANG
1. Solat Sunat Asar - Fardhu Asar - wirid/doa
2. Zikir (sebanyak yang boleh) Tiada Tuhan melainkan Allah
3.Tasbih yang bermasksud:
(a) Maha Suci Allah yang maha Tinggi
(b) (100 kali) dikasihi Tuhan dan berat timbangannya di akhirat. (Maha suci Allah yang maha agung)
4. Bertakbir (100 kali) amanah Nabi kepada Sayidina Ali sesudah senbahyang asar sebelum tenggelam matahari - setiap hari
5.Selawat: (10/100 kali)
MAGHRIB:
- berbuka puasa - solat Maghrib dan sunat Maghrib
- solat sunat Awwabin
- membaca (50 atau 100 kali) menjadi pengadang dunia dan akhirat. (tiada suatu kekuatan melainkan dengan Allah yang maha agung)
ISYAK:
- Solat sunat Isyak, fardu Isyak, sunat Isyak
- Solat sunat Terawih, sunat witir
- membaca al-Quran
TENGAH MALAM
Jam 12 malam atau 3.00 pagi hingga fajar Subuh
- Solat sunat wuduk
- Solat sunat Tahajud (dua atau empat atau enam atau lapan atau 12 rakaat) dan berdoa
- Solat sunat Hajat (memohon sesuatu hajat dan berdoa)
- Berzikir (di dalam hati nurani/ingatan sebanyak-banyaknya).
- Tasbih Istighfar (100 kali/70 kali). (Maha Suci Allah dan dengan segela kepujianNya maka suci Allah yang Maha Agung, aki mohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung dan aku bertaubat kepadaNya).
- Membaca tasbih dan zikir majmuk (sebanyak 100 kali). (Maha suci Allah dan segala kepujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Agung, tiada
suatu daya dan kekuatan melainkan dengan Allah). Setelah masuk waktu Subuh dan setelah azan Subuh, solat sunat Subuh/fajar dua rakaat, sebelum solat Subuh (antara azan dan solat fardu Subuh). Bacalah istighfar tabih 100 kali dan kemudian berdoa, kerana ini termasuk waktu mustajab doa - antara azan Subuh dengan solat Subuh, iaitu bermaksud: bertasbih dan mohon keampunan (jika sempat waktunya). (Maha suci Allah dengan segala kepujiannya, maha suci Allah yang maha agung aku memohon keampunan kepada Allah yang maha Agung dan aku bertaubah kepada-Nya)
BERSEDEKAH:
Bersedekah setiap hari pada bulan Ramadan tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadan.
Bersedekah pada bulan Ramadan menutup kesalahan puasa, diampunkan dosa , berlipat ganda pahalanya.
Dicurahkan rahmat Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan ke syurga, terjauh dari bala.
Adab puasa dan tarawih
Oleh: NAZMI AIDARUS
SETIAP orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang akan menyempurnakan ibadah tersebut. Di antara peraturan yang terpenting ialah:
* Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.
* Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan perkara yang sia-sia.
* Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau mengandungi unsur syubhat, terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya upaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa, maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.
* Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.
Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak dan binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Nabi s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga! (riwayat An-Nasai)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang puasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan.
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Puasa itu adalah ‘perisai’, Sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya, maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: ‘Saya sedang berpuasa.” (riwayat Bukhari dan Muslim)
* Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami keperitan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya akan terkawal, keinginan nafsunya akan berkurangan, hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.
* Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makan adalah sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.
Penggembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan, memberikan kesan positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut, terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain, sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika munajat dan berzikir kepada-Nya.
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu pada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Takungan jelik yang dipenuhkan oleh manusia adalah perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan, maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang, anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu), tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus, bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.
* Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan ini, bahkan mengambil kesempatan yang ada untuk beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.
Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini, sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.
* Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.
Sabdanya: “Umatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.” (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).
* Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda s.a.w.: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa, tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa).” (riwayat Baihaqi dan ibnu Khuzaimah).
* Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, witir dan sebagainya. Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat tarawih mereka kerana meninggalkan rukun solat tersebut seperti, meninggalkan tumakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin cepat dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.
Amalan tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti pada waktu-waktu lain, menyempurnakan qiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya dalam mengerjakan solat tarawih itu sehinggalah selesai sama ada sebanyak 20 rakaat atau pun 8 rakaat. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiam semalaman. (An-Nasai).
- NAZMI AIDARUS ialah pegawai di Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
sumber:UTUSAN MALAYSIA 19.9.07Saturday, September 15, 2007
Memberi makan orang berpuasa
Huraiannya:
Dalam hadis ini, Rasulullah menggalakkan supaya menjamu makan kepada orang berpuasa untuk berbuka kerana pahalanya sama dengan ibadat puasa mereka yang berpuasa tersebut tanpa mengurangkan pahalanya sedikitpun. Ini adalah semata-mata limpah kurnia daripada Allah s.w.t. kepada mereka yang suka mengadakan jamuan pada bulan Ramadan untuk membantu mereka yang sedang melakukan ibadat puasa tersebut.
Kesimpulannya:
Allah akan memberi pahala dan ganjaran yang besar kepada mereka yang menyedia atau membuat jamuan untuk berbuka puasa. Satu-satu ibadat yang dipilih-Nya untuk diri-Nya sahaja .Dan berjanji untuk memberi balasannya.
sumber: UTUSAN MALAYSIA 20.9.2007
Friday, September 14, 2007
Kelebihan puasa dan orang berpuasa
RAMADAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.
Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa'di Abu Jaib Hal 218).
Dalam Feqh Manhajji menyebut puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam dengan niat puasa.
Walaupun begitu terdapat banyak lagi definasi berkenaan dengan puasa berdasarkan kepada pendapat fuqaha dalam semua mazhab. Tetapi pengertian yang mereka kemukakan adalah hampir sama.
Puasa Ramadan mula difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Akan tetapi kewajipan puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.
Ia merupakan satu rukun daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum. Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.
Hal yang demikian sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji.
Berkenaan dengan rukun puasa pula iaitu menahan daripada dua syahwat, perut dan faraj. Atau menahan daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 3/1616).
Seterusnya dibincangkan fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:
*Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.
*Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.
*Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.
*Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
*Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
*Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.
*Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
*Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.
*Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.
Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka. Justeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.
Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.
sumber:UTUSAN MALAYSIA 14.9.2007
Saturday, August 11, 2007
Sembahyang kunci syurga
Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya tahu dan faham sembahyang itu wajib. Tetapi, semakin tua, saya terasa semakin malas hendak sembahyang. Kadang-kadang balik kerja, selepas minum sedikit, saya rehat dan terus terlelap sehingga meninggalkan sembahyang Isyak. Begitu juga dengan sembahyang Asar, yang selalu tertinggal kerana saya berada di tengah jalan.
Kadang-kadang saya rasa kalah dengan sikap saya sendiri, yang dibebani dengan kerja yang begitu banyak dan jarak yang begitu jauh dari tempat tinggal dengan tempat kerja. Tolong beri saya satu motivasi yang dapat menolong saya supaya tidak meninggalkan sembahyang. Terima kasih
– IHSAN, KUCHING
JAWAPAN: Saudara perlu sedar bahawa sembahyang bukan hanya merupakan ibadah yang baik. Apabila saudara katakan sembahyang itu ibadah yang baik, ia seolah-olah tidak ubah seperti amalan biasa lain. Saudara perlu memahami, sembahyang adalah rukun kedua daripada Rukun Islam, yang wajib diamalkan oleh setiap orang Islam yang mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu cukup umur, berakal, suci daripada haid dan nifas, sejahtera mata dan telinga.
Tidak wajib sembahyang orang yang buta dan pekak yang berlaku sejak dilahirkan, atau sebelum mumaiyiz biarpun ia berupaya berkata-kata. Andainya ini berlaku selepas mumaiyiz, maka dia wajib sembahyang. Syarat lain ialah sampai seru kepadanya.
Ibadah ini mempunyai waktu-waktu tertentu. Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang meninggalkan sembahyang bererti dia telah merobohkan agamanya. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang amalan-amalan yang afdal. Baginda menjawab amalan yang afdal itu ialah sembahyang pada waktunya. Baginda juga ada bersabda yang bermaksud: Barangsiapa memelihara baik lima solat fardu dengan menyempurnakan wuduknya dan menjaga waktu-waktunya, maka hal itu akan menjadi nur (cahaya) dan burhan (hujah atau bukti) baginya pada hari kiamat kelak. Dan barangsiapa melalaikannya, mereka akan dikumpulkan kelak bersama Firaun dan Haman. Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Tirmizi serta Nasaiy.
Saudara juga perlu ingat bahawa sembahyang itu adalah kunci syurga. Demikianlah keterangan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Bayhaqi. Tidak ada sesuatu yang telah difardukan oleh Allah s.w.t. ke atas hamba-hamba-Nya yang lebih disukai oleh-Nya setelah tauhid, daripada solat. Seandainya ada sesuatu yang disukainya lebih daripada solat nescaya dengan itu para malaikat akan beribadah kepada-Nya. Namun di antara para malaikat itu ada yang terus-menerus rukuk, ada yang terus-menerus sujud, berdiri ataupun duduk.
Ibadah sembahyang merupakan ibadah yang difardukan kepada Muhammad secara terus, bukan melalui perantaraan malaikat Jiibrail, seperti wahyu-wahyu lain. Demikianlah gambaran betapa besarnya wahyu Allah mengenai sembahyang. Allah ada berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Allah menjelaskan bahawa orang yang berupaya melakukan sembahyang seperti yang disyariatkan, dengan rasa ikhlas, semata-mata kerana Allah, sempurna rukun dan syarat yang disertai dengan rasa khusyuk, sembahyang yang dilakukannya itu akan membentuk sahsiah baik, terpelihara daripada segala dosa-dosa kecil yang berpanjangan, juga dosa- dosa besar.
Ini memberi pengertian bahawa orang yang tidak melakukan sembahyang dengan baik, mereka tidak berupaya menghindarkan diri daripada kejahatan.
Melakukan sembahyang lima waktu itu tidak ubah seperti sebuah sungai berair tawar yang terdapat di hadapan pintu rumah seseorang. Orang berkenaan mandi di dalam sungai tadi lima kali sehari. Tentulah badannya bersih, tidak ada yang tinggal kekotoran daripada tubuhnya. Sembahyang lima kali sehari semalam akan menghilangkan dosa-dosa seperti air sungai yang menghilangkan kekotoran tubuh manusia.
Sesungguhnya sembahyang fardu itu adalah penghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh seseorang di antara sembahyang fardu tadi selagi orang berkenaan tidak melakukan dosa-dosa besar. Pemisah di antara orang yang beriman dengan orang yang munafik ialah sembahyang Isyak dan Subuh berjemaah (di Masjid Nabawi). Mereka tidak sanggup atau amat berat melakukannya.
Keterangan-keterangan di atas yang dijelaskan oleh hadis-hadis nabi memperlihatkan betapa pentingnya sembahyang.
Hal demikian wajar disedari dan difahami. Ia tidak seharusnya diabaikan oleh orang Islam dan merasakan “seolah-olah sembahyang itu tidak dapat dilakukan setiap masa.” Jangan jadikan kawan-kawan yang mengabaikan sembahyang itu sebagai sumber inspirasi untuk melakukan kemungkaran dengan meninggalkan sembahyang.
Jangan saudara menjadikan amalan manusia yang meninggalkan sembahyang itu sebagai hukum untuk membuktikan bahawa sembahyang itu satu ibadah yang tidak berupaya untuk dipikul oleh manusia.
Memang disedari bahawa bukan mudah untuk mendidik diri bersembahyang, apatah lagi apabila dilakukan terus-menerus, sejak seseorang itu baligh sehinggalah ia meninggal dunia, selagi akalnya waras.
Sembahyang memerlukan kesabaran bagi orang yang ingin mendidik. Orang yang hendak melakukannya perlukan ilmu yang berkaitan dengannya, tahu tujuan kenapa sembahyang difardukan, tahu kesan-kesan hasil daripada melakukannya dan lain-lain perkara yang berkaitan yang mesti diketahui. Yang paling penting ialah mendidik seseorang itu agar melakukannya sejak kecil lagi.
Tanpa pemahaman hal-hal yang berkaitan dengan sembahyang, seseorang itu akan melakukan hanya sambil lewa ataupun melakukannya apabila dirasakan perlu.
Telah dijelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Musuh utama manusia ialah iblis dan syaitan. Dan untuk memperoleh sifat khusyuk sembahyang, setiap orang perlu memahami bahawa iblis dan syaitan itu memang sentiasa berusaha menyekat manusia daripada bersembahyang.
Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia, menipu manusia yang akhirnya dapat dibawa ke neraka. Oleh kerana sembahyang itu mencegah pelakunya daripada kejahatan dan kemungkaran, maka memang lojik sekiranya dikatakan makhluk ini memainkan peranan melalaikan manusia daripada melakukan sembahyang terus-menerus, terutamanya pada sembahyang yang selalunya manusia banyak kerja atau malas melakukannya, iaitu Asar dan Isyak.
Syaitan itu terbahagi dua, iaitu yang tidak dapat dilihat dengan mata zahir, yang mendatangkan rasa waswas ketika sembahyang yang mendorong manusia agar melengah-lengahkan sembahyang atau yang mendatangkan pelbagai ingatan dan gambaran ketika seseorang itu sembahyang menyebabkan timbulnya pelbagai khayalan atau leka.
Syaitan manusia pula ialah manusia seperti kita, tetapi memainkan peranan seperti syaitan, yang menyebabkan seseorang itu lupa mendirikan sembahyang.
Ada orang yang insaf dan taat menjalankan perintah Allah apabila dia sakit atau melihat manusia mati – teman, saudara atau sesiapa yang hampir dengannya. Kesedaran yang timbul daripada peristiwa atau teladan seperti ini selalunya tidak lama. Ia akan lupakan Allah semula apabila segala ingatan itu luntur, yang akan luput daripada ingatan sedikit demi sedikit.
Orang muda memang sering lupa diri daripada mengingati Allah, berbanding mereka yang meningkat tua. Ini terjadi kerana manusia muda sering merasakan dirinya masih mempunyai ruang masa yang banyak pada masa hadapan untuk beribadah.
Orang tua pula merasakan bahawa setiap langkah yang diatur memberi erti bahawa nyawanya semakin pendek. Kerana itulah di mana-mana sekalipun, orang tua lebih banyak menghuni masjid berbanding orang muda. Orang tua juga lebih banyak masa atau sudah berhenti kerja. Mereka juga perlukan rehat yang banyak dalam menghayati sisa-sisa hidup. Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan alasan meninggalkan sembahyang atau meninggalkan sebahagian daripadanya.
Memang semua orang menerima gangguan, tetapi kesannya adalah berbeza, bergantung setakat mana kekuatan iman seseorang dan usaha mengatasi godaan.
Monday, June 4, 2007
Solat fardu Rasulullah tidak pernah bersendirian
KEPENTINGAN solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh umat Islam sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah.
Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah suatu realiti yang amat menyedihkan hari ini.
Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat Islam diberikan dorongan (targhib) dengan menerangkan kelebihan dan keistimewaan solat berjemaah bagi menarik mereka kepada amalan tersebut kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa.
Nabi Muhammad telah mendidik para sahabatnya serta umat Islam keseluruhannya sehingga akhir zaman supaya bukan sahaja menjaga solat lima waktu tepat pada waktunya, bahkan supaya bertekun mengambil berat terhadap solat berjemaah. Hatta, Baginda tidak pernah bersolat fardu secara sendirian sepanjang hayatnya.
Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Rasulullah bersabda: Allah berfirman, Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya. (Riwayat Abu Daud dan Ibu Majah).
Ketika hampir wafat, Baginda tetap pergi ke masjid untuk menyertai solat berjemaah yang diimamkan oleh Saidina Abu Bakar.
Demikianlah perilaku mulia yang ditunjukkan Baginda supaya umat Islam mengambil contoh tauladan untuk turut bersungguh-sungguh menjaga solat berjemaah yang dijanjikan banyak ganjaran dan rahmat daripada Allah.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).
Apabila seseorang itu mendirikan solat dengan ikhlas bersama niat untuk memperoleh keredaan Allah dan berniat mendapatkan ganjaran (ihtisab), maka cara yang mudah ialah bersolat di masjid dengan berjemaah dan bukan melakukannya secara sendirian.
Sebagaimana seorang pekerja tidak mungkin kita melepaskan peluang untuk meraih gaji RM27 untuk sesuatu pekerjaan mudah, sebaliknya berpuas hati dengan hanya RM1. Tamsilan tersebut hanya bertujuan memberikan gambaran kerana lazimnya manusia lebih mudah memahami keuntungan atau kerugian berkaitan hal keduniaan. Namun sebenarnya keuntungan dalam amalan agama sebagaimana solat adalah terlalu besar.
Anas bin Malik meriwayatkan Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah kerana Allah dengan memperoleh takbiratul ula selama 40 hari akan mendapat dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik. (Riwayat al-Tirmizi).
Antara ganjaran lain ialah Allah akan mengurniakan lima keistimewaan; Pertama, akan diangkat kesempitan hidup; Kedua, akan dihindar daripada azab kubur; Ketiga, akan menerima buku catatan amalan melalui tangan kanan; Keempat, akan melintasi titian sirat sepantas kilat dan kelima, akan memasuki syurga tanpa hisab.
Sebahagian ulama meletakkan hukum bagi solat fardu lima waktu secara berjemaah untuk golongan lelaki ialah fardu ain. Manakala sebahagian ulama pula mengatakannya sebagai fardu kifayah dan sebahagian lagi ulama termasuk Imam Syafie berpendapat ia adalah sunat muakkad.
*Golongan munafik
Pada zaman Rasulullah, kesemua orang Islam akan datang ke masjid solat berjemaah, kecuali mereka yang benar-benar uzur manakala golongan munafik pula tidak menyertai solat Isyak dan Subuh secara berjemaah kerana merasakan mereka tidak akan dapat dilihat pada dua waktu yang suasana harinya agak gelap itu.
Abdullah bin Abbas berkata bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solat berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya iaitu keuzuran daripada menyertai solat berjemaah maka solat yang dikerjakan (tanpa berjemaah) tidak akan diterima. Para sahabat bertanya: Apakah keuzuran itu? Jawab Rasulullah: Takut atau sakit. (Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban).
Bagaimanapun ulama muktabar sepakat mengatakan bahawa perkataan ‘solat tidak akan diterima' bermaksud bahawa dia tidak akan mendapat ganjaran daripada Allah melalui solat yang dikerjakan itu, sebaliknya hanya sekadar terlepas daripada kewajipan menunaikan solat fardu.
Ulama menggariskan keuzuran yang dimaksudkan dalam hadis di atas termasuk cuaca yang terlampau sejuk, hujan lebat, terpaksa buang air, lapar atau dahaga, takut kepada pemiutang kalau-kalau dimintanya di tengah jalan sedangkan ia benar-benar tidak mampu, takut kepada orang zalim dan siap sedia untuk bermusafir, takut kalau-kalau terlewat atau ketinggalan.
Rasulullah bersabda: Seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat, (langkah yang sama) digugurkan satu dosa, dan diberikan satu pahala. Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'idi bahawa Rasulullah bersabda: Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu berjalan ke masjid dalam kegelapan malam bahawa mereka akan memperoleh nur yang sempurna pada hari kiamat. (Riwayat Ibnu Majah).
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Said, Rasulullah bersabda: Apabila kamu melihat seorang yang selalu ke masjid maka hendaklah kamu bersaksi atas keimanannya. Lalu baginda membaca surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yakni yang menghidupkan amalan dalamnya) ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat...
Begitu besar ganjaran yang disediakan untuk orang yang bersolat jemaah sehinggakan mereka yang tidak sempat untuk menyertai jemaah turut diberi ganjaran seandainya sebelum itu dia menyangka solat belum selesai lagi.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Seseorang yang berwuduk dengan sempurna lalu pergi ke masjid untuk bersolat berjemaah) lalu mendapati orang ramai telah selesai solat berjemaah, Allah akan memberi kepadanya ganjaran pahala yang sama sebagaimana mereka yang telah bersolat berjemaah, tanpa mengurangkan sedikit pun daripada pahala mereka. (Riwayat Abu Daud, Nasai dan Hakim).
Sebenarnya terlalu banyak sabda Rasulullah yang menggalakkan umat Islam untuk menunaikan solat secara berjemaah namun beberapa hadis di atas adalah memadai untuk mereka yang benar-benar mahu mengikut jejak langkah yang ditunjukkan oleh Baginda.
Sesungguhnya Islam bukanlah hanya berkenaan perkara solat sahaja kerana agama yang syumul itu merangkumi segenap aspek kehidupan dan cara hidup manusia yang lengkap, namun solat adalah perkara asas dalam ajaran agama itu yang perlu dikerjakan dengan sempurna.
Dan sama ada ibadat kita diterima atau tidak, hanya Allah sahaja yang mengetahui namun Rasulullah telah menunjukkan cara-cara bagaimana setiap amalan itu dapat diterima oleh Allah sekiranya dilakukan mengikut sunah Rasulullah, dan solat berjemaah adalah salah satu sunah Baginda.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah Ibnu Mas'ud: Rasulullah mengajarkan kami jalan-jalan petunjuk (sunanul huda) dan di antara jalan-jalan hidayah itu ialah mengerjakan solat berjemaah di masjid yang dilaungkan azan. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).