Saturday, August 11, 2007

Sembahyang kunci syurga

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya tahu dan faham sembahyang itu wajib. Tetapi, semakin tua, saya terasa semakin malas hendak sembahyang. Kadang-kadang balik kerja, selepas minum sedikit, saya rehat dan terus terlelap sehingga meninggalkan sembahyang Isyak. Begitu juga dengan sembahyang Asar, yang selalu tertinggal kerana saya berada di tengah jalan.

Kadang-kadang saya rasa kalah dengan sikap saya sendiri, yang dibebani dengan kerja yang begitu banyak dan jarak yang begitu jauh dari tempat tinggal dengan tempat kerja. Tolong beri saya satu motivasi yang dapat menolong saya supaya tidak meninggalkan sembahyang. Terima kasih

– IHSAN, KUCHING

JAWAPAN: Saudara perlu sedar bahawa sembahyang bukan hanya merupakan ibadah yang baik. Apabila saudara katakan sembahyang itu ibadah yang baik, ia seolah-olah tidak ubah seperti amalan biasa lain. Saudara perlu memahami, sembahyang adalah rukun kedua daripada Rukun Islam, yang wajib diamalkan oleh setiap orang Islam yang mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu cukup umur, berakal, suci daripada haid dan nifas, sejahtera mata dan telinga.

Tidak wajib sembahyang orang yang buta dan pekak yang berlaku sejak dilahirkan, atau sebelum mumaiyiz biarpun ia berupaya berkata-kata. Andainya ini berlaku selepas mumaiyiz, maka dia wajib sembahyang. Syarat lain ialah sampai seru kepadanya.

Ibadah ini mempunyai waktu-waktu tertentu. Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang meninggalkan sembahyang bererti dia telah merobohkan agamanya. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang amalan-amalan yang afdal. Baginda menjawab amalan yang afdal itu ialah sembahyang pada waktunya. Baginda juga ada bersabda yang bermaksud: Barangsiapa memelihara baik lima solat fardu dengan menyempurnakan wuduknya dan menjaga waktu-waktunya, maka hal itu akan menjadi nur (cahaya) dan burhan (hujah atau bukti) baginya pada hari kiamat kelak. Dan barangsiapa melalaikannya, mereka akan dikumpulkan kelak bersama Firaun dan Haman. Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Tirmizi serta Nasaiy.

Saudara juga perlu ingat bahawa sembahyang itu adalah kunci syurga. Demikianlah keterangan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Bayhaqi. Tidak ada sesuatu yang telah difardukan oleh Allah s.w.t. ke atas hamba-hamba-Nya yang lebih disukai oleh-Nya setelah tauhid, daripada solat. Seandainya ada sesuatu yang disukainya lebih daripada solat nescaya dengan itu para malaikat akan beribadah kepada-Nya. Namun di antara para malaikat itu ada yang terus-menerus rukuk, ada yang terus-menerus sujud, berdiri ataupun duduk.

Ibadah sembahyang merupakan ibadah yang difardukan kepada Muhammad secara terus, bukan melalui perantaraan malaikat Jiibrail, seperti wahyu-wahyu lain. Demikianlah gambaran betapa besarnya wahyu Allah mengenai sembahyang. Allah ada berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Allah menjelaskan bahawa orang yang berupaya melakukan sembahyang seperti yang disyariatkan, dengan rasa ikhlas, semata-mata kerana Allah, sempurna rukun dan syarat yang disertai dengan rasa khusyuk, sembahyang yang dilakukannya itu akan membentuk sahsiah baik, terpelihara daripada segala dosa-dosa kecil yang berpanjangan, juga dosa- dosa besar.

Ini memberi pengertian bahawa orang yang tidak melakukan sembahyang dengan baik, mereka tidak berupaya menghindarkan diri daripada kejahatan.

Melakukan sembahyang lima waktu itu tidak ubah seperti sebuah sungai berair tawar yang terdapat di hadapan pintu rumah seseorang. Orang berkenaan mandi di dalam sungai tadi lima kali sehari. Tentulah badannya bersih, tidak ada yang tinggal kekotoran daripada tubuhnya. Sembahyang lima kali sehari semalam akan menghilangkan dosa-dosa seperti air sungai yang menghilangkan kekotoran tubuh manusia.

Sesungguhnya sembahyang fardu itu adalah penghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh seseorang di antara sembahyang fardu tadi selagi orang berkenaan tidak melakukan dosa-dosa besar. Pemisah di antara orang yang beriman dengan orang yang munafik ialah sembahyang Isyak dan Subuh berjemaah (di Masjid Nabawi). Mereka tidak sanggup atau amat berat melakukannya.

Keterangan-keterangan di atas yang dijelaskan oleh hadis-hadis nabi memperlihatkan betapa pentingnya sembahyang.

Hal demikian wajar disedari dan difahami. Ia tidak seharusnya diabaikan oleh orang Islam dan merasakan “seolah-olah sembahyang itu tidak dapat dilakukan setiap masa.” Jangan jadikan kawan-kawan yang mengabaikan sembahyang itu sebagai sumber inspirasi untuk melakukan kemungkaran dengan meninggalkan sembahyang.

Jangan saudara menjadikan amalan manusia yang meninggalkan sembahyang itu sebagai hukum untuk membuktikan bahawa sembahyang itu satu ibadah yang tidak berupaya untuk dipikul oleh manusia.

Memang disedari bahawa bukan mudah untuk mendidik diri bersembahyang, apatah lagi apabila dilakukan terus-menerus, sejak seseorang itu baligh sehinggalah ia meninggal dunia, selagi akalnya waras.

Sembahyang memerlukan kesabaran bagi orang yang ingin mendidik. Orang yang hendak melakukannya perlukan ilmu yang berkaitan dengannya, tahu tujuan kenapa sembahyang difardukan, tahu kesan-kesan hasil daripada melakukannya dan lain-lain perkara yang berkaitan yang mesti diketahui. Yang paling penting ialah mendidik seseorang itu agar melakukannya sejak kecil lagi.

Tanpa pemahaman hal-hal yang berkaitan dengan sembahyang, seseorang itu akan melakukan hanya sambil lewa ataupun melakukannya apabila dirasakan perlu.

Telah dijelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Musuh utama manusia ialah iblis dan syaitan. Dan untuk memperoleh sifat khusyuk sembahyang, setiap orang perlu memahami bahawa iblis dan syaitan itu memang sentiasa berusaha menyekat manusia daripada bersembahyang.

Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia, menipu manusia yang akhirnya dapat dibawa ke neraka. Oleh kerana sembahyang itu mencegah pelakunya daripada kejahatan dan kemungkaran, maka memang lojik sekiranya dikatakan makhluk ini memainkan peranan melalaikan manusia daripada melakukan sembahyang terus-menerus, terutamanya pada sembahyang yang selalunya manusia banyak kerja atau malas melakukannya, iaitu Asar dan Isyak.

Syaitan itu terbahagi dua, iaitu yang tidak dapat dilihat dengan mata zahir, yang mendatangkan rasa waswas ketika sembahyang yang mendorong manusia agar melengah-lengahkan sembahyang atau yang mendatangkan pelbagai ingatan dan gambaran ketika seseorang itu sembahyang menyebabkan timbulnya pelbagai khayalan atau leka.

Syaitan manusia pula ialah manusia seperti kita, tetapi memainkan peranan seperti syaitan, yang menyebabkan seseorang itu lupa mendirikan sembahyang.

Ada orang yang insaf dan taat menjalankan perintah Allah apabila dia sakit atau melihat manusia mati – teman, saudara atau sesiapa yang hampir dengannya. Kesedaran yang timbul daripada peristiwa atau teladan seperti ini selalunya tidak lama. Ia akan lupakan Allah semula apabila segala ingatan itu luntur, yang akan luput daripada ingatan sedikit demi sedikit.

Orang muda memang sering lupa diri daripada mengingati Allah, berbanding mereka yang meningkat tua. Ini terjadi kerana manusia muda sering merasakan dirinya masih mempunyai ruang masa yang banyak pada masa hadapan untuk beribadah.

Orang tua pula merasakan bahawa setiap langkah yang diatur memberi erti bahawa nyawanya semakin pendek. Kerana itulah di mana-mana sekalipun, orang tua lebih banyak menghuni masjid berbanding orang muda. Orang tua juga lebih banyak masa atau sudah berhenti kerja. Mereka juga perlukan rehat yang banyak dalam menghayati sisa-sisa hidup. Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan alasan meninggalkan sembahyang atau meninggalkan sebahagian daripadanya.

Memang semua orang menerima gangguan, tetapi kesannya adalah berbeza, bergantung setakat mana kekuatan iman seseorang dan usaha mengatasi godaan.

Monday, June 4, 2007

Solat fardu Rasulullah tidak pernah bersendirian

KEPENTINGAN solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh umat Islam sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah suatu realiti yang amat menyedihkan hari ini.

Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat Islam diberikan dorongan (targhib) dengan menerangkan kelebihan dan keistimewaan solat berjemaah bagi menarik mereka kepada amalan tersebut kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa.

Nabi Muhammad telah mendidik para sahabatnya serta umat Islam keseluruhannya sehingga akhir zaman supaya bukan sahaja menjaga solat lima waktu tepat pada waktunya, bahkan supaya bertekun mengambil berat terhadap solat berjemaah. Hatta, Baginda tidak pernah bersolat fardu secara sendirian sepanjang hayatnya.

Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Rasulullah bersabda: Allah berfirman, Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya. (Riwayat Abu Daud dan Ibu Majah).

Ketika hampir wafat, Baginda tetap pergi ke masjid untuk menyertai solat berjemaah yang diimamkan oleh Saidina Abu Bakar.

Demikianlah perilaku mulia yang ditunjukkan Baginda supaya umat Islam mengambil contoh tauladan untuk turut bersungguh-sungguh menjaga solat berjemaah yang dijanjikan banyak ganjaran dan rahmat daripada Allah.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

Apabila seseorang itu mendirikan solat dengan ikhlas bersama niat untuk memperoleh keredaan Allah dan berniat mendapatkan ganjaran (ihtisab), maka cara yang mudah ialah bersolat di masjid dengan berjemaah dan bukan melakukannya secara sendirian.

Sebagaimana seorang pekerja tidak mungkin kita melepaskan peluang untuk meraih gaji RM27 untuk sesuatu pekerjaan mudah, sebaliknya berpuas hati dengan hanya RM1. Tamsilan tersebut hanya bertujuan memberikan gambaran kerana lazimnya manusia lebih mudah memahami keuntungan atau kerugian berkaitan hal keduniaan. Namun sebenarnya keuntungan dalam amalan agama sebagaimana solat adalah terlalu besar.

Anas bin Malik meriwayatkan Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah kerana Allah dengan memperoleh takbiratul ula selama 40 hari akan mendapat dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik. (Riwayat al-Tirmizi).

Antara ganjaran lain ialah Allah akan mengurniakan lima keistimewaan; Pertama, akan diangkat kesempitan hidup; Kedua, akan dihindar daripada azab kubur; Ketiga, akan menerima buku catatan amalan melalui tangan kanan; Keempat, akan melintasi titian sirat sepantas kilat dan kelima, akan memasuki syurga tanpa hisab.

Sebahagian ulama meletakkan hukum bagi solat fardu lima waktu secara berjemaah untuk golongan lelaki ialah fardu ain. Manakala sebahagian ulama pula mengatakannya sebagai fardu kifayah dan sebahagian lagi ulama termasuk Imam Syafie berpendapat ia adalah sunat muakkad.

*Golongan munafik

Pada zaman Rasulullah, kesemua orang Islam akan datang ke masjid solat berjemaah, kecuali mereka yang benar-benar uzur manakala golongan munafik pula tidak menyertai solat Isyak dan Subuh secara berjemaah kerana merasakan mereka tidak akan dapat dilihat pada dua waktu yang suasana harinya agak gelap itu.

Abdullah bin Abbas berkata bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solat berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya iaitu keuzuran daripada menyertai solat berjemaah maka solat yang dikerjakan (tanpa berjemaah) tidak akan diterima. Para sahabat bertanya: Apakah keuzuran itu? Jawab Rasulullah: Takut atau sakit. (Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban).

Bagaimanapun ulama muktabar sepakat mengatakan bahawa perkataan ‘solat tidak akan diterima' bermaksud bahawa dia tidak akan mendapat ganjaran daripada Allah melalui solat yang dikerjakan itu, sebaliknya hanya sekadar terlepas daripada kewajipan menunaikan solat fardu.

Ulama menggariskan keuzuran yang dimaksudkan dalam hadis di atas termasuk cuaca yang terlampau sejuk, hujan lebat, terpaksa buang air, lapar atau dahaga, takut kepada pemiutang kalau-kalau dimintanya di tengah jalan sedangkan ia benar-benar tidak mampu, takut kepada orang zalim dan siap sedia untuk bermusafir, takut kalau-kalau terlewat atau ketinggalan.

Rasulullah bersabda: Seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat, (langkah yang sama) digugurkan satu dosa, dan diberikan satu pahala. Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'idi bahawa Rasulullah bersabda: Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu berjalan ke masjid dalam kegelapan malam bahawa mereka akan memperoleh nur yang sempurna pada hari kiamat. (Riwayat Ibnu Majah).

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Said, Rasulullah bersabda: Apabila kamu melihat seorang yang selalu ke masjid maka hendaklah kamu bersaksi atas keimanannya. Lalu baginda membaca surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yakni yang menghidupkan amalan dalamnya) ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat...

Begitu besar ganjaran yang disediakan untuk orang yang bersolat jemaah sehinggakan mereka yang tidak sempat untuk menyertai jemaah turut diberi ganjaran seandainya sebelum itu dia menyangka solat belum selesai lagi.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Seseorang yang berwuduk dengan sempurna lalu pergi ke masjid untuk bersolat berjemaah) lalu mendapati orang ramai telah selesai solat berjemaah, Allah akan memberi kepadanya ganjaran pahala yang sama sebagaimana mereka yang telah bersolat berjemaah, tanpa mengurangkan sedikit pun daripada pahala mereka. (Riwayat Abu Daud, Nasai dan Hakim).

Sebenarnya terlalu banyak sabda Rasulullah yang menggalakkan umat Islam untuk menunaikan solat secara berjemaah namun beberapa hadis di atas adalah memadai untuk mereka yang benar-benar mahu mengikut jejak langkah yang ditunjukkan oleh Baginda.

Sesungguhnya Islam bukanlah hanya berkenaan perkara solat sahaja kerana agama yang syumul itu merangkumi segenap aspek kehidupan dan cara hidup manusia yang lengkap, namun solat adalah perkara asas dalam ajaran agama itu yang perlu dikerjakan dengan sempurna.

Dan sama ada ibadat kita diterima atau tidak, hanya Allah sahaja yang mengetahui namun Rasulullah telah menunjukkan cara-cara bagaimana setiap amalan itu dapat diterima oleh Allah sekiranya dilakukan mengikut sunah Rasulullah, dan solat berjemaah adalah salah satu sunah Baginda.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah Ibnu Mas'ud: Rasulullah mengajarkan kami jalan-jalan petunjuk (sunanul huda) dan di antara jalan-jalan hidayah itu ialah mengerjakan solat berjemaah di masjid yang dilaungkan azan. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).

Monday, April 30, 2007

Waspada ‘kuasa’ mata

SAIDINA Ali pernah berkata, “pandangan mata itu seperti panahan syaitan”. Demikian juga lagu ‘Dari Kerana Mata’ yang popular pada tahun 1950-an nyanyian Allahyarham R. Azmi.

Semuanya bagi mengaitkan hebatnya kuasa mata kepada tingkah laku seseorang.

Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perempuan dalam satu selimut tanpa pakaian. (riwayat Bukhari)

Maka sebab itu jugalah Islam telah menetapkan batas aurat antara lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, wujud kekeliruan dalam memahami maksud menutup aurat ini terutama di kalangan wanita.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SHAIFUDIN MOHD. NOR menemu bual Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim bagi mengupas persoalan ini.

UTUSAN: Apakah maksud aurat dalam Islam?

DR. MASHITAH: Dalam Islam, aurat bermaksud kecacatan, keaiban atau kekurangan yang wajib kita tutup. Dari segi bahasa, menjelaskan yang aurat itu adalah sesuatu yang terdedah kepada serangan musuh.

Allah memerintahkan kita menutup aurat kerana mendedahkannya boleh mendatangkan fitnah, menaikkan syahwat atau menyebabkan kita melihat perkara yang tidak sepatutnya.

Syarak mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan haram dilihat.

Secara keseluruhannya empat mazhab utama dalam fikah Islam iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut.

Bagi wanita ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan al-sunah.

Ingatlah firman Allah tentang aurat, Katakanlah kepada wanita beriman, “hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya..”.(Al-Nur: 31)

Apakah keadaan darurat yang dibenarkan untuk seseorang itu mendedahkan auratnya?

DR. MASHITAH: Islam sebagai agama yang syumul memang membenarkan aurat didedahkan dalam keadaan tertentu atau darurat.

Contohnya, ketika menjadi saksi kes di mahkamah atau dari segi perubatan seperti berkhatan. Cuma kelonggaran ini diberi hanya sekadar keperluan sahaja. Bukan pula boleh sewenang-wenangnya mendedah aurat di bahagian tubuh yang lain.

Perlu dijelaskan, aktiviti lain seperti berlakon tidak termasuk dalam kategori darurat untuk membolehkan seseorang mendedahkan auratnya.

Kepentingan menjaga aurat ini pernah ditanya oleh Bahaz bin Hashim dari datuknya, ‘tentang aurat ini kita hendak menjaga daripada siapa? Rasulullah menjawab, kecuali kepada isteri-isteri dan hamba-hamba mu, jika bermusafir, kalau mampu hendaklah kamu menjaganya, jika berseorangan, Allah itu lebih aula untuk kamu berasa malu.

Dalam Islam, selalu ditegaskan konsep ilmu dan amal. Mengenai aurat ini, ada yang mendakwa kalau pakai wig pun dikira menutup aurat. Benarkah?

DR. MASHITAH: Pendapat sedemikian adalah tidak benar dan perlu dibetulkan. Ini berlaku antara lain kerana kecetekan ilmu agama pada sebilangan masyarakat kita. Pada fahaman mereka, bukan menutup aurat tetapi menutup rambut.

Hal ini pernah berlaku pada zaman Allahyarham Hamka di Indonesia. Semasa berada di sebuah kampung di pedalaman, Allahyarham menasihati penduduk wanita Muslim agar menutup rambut.

Pada suatu hari, apabila Allahyarham berjalan di kampung tersebut para ibu di situ segera menutup rambut mereka dengan kain sarung menyebabkan bahagian bawah badan terdedah.

Lalu, beliau pun mengakui kesilapannya dalam memberi fahaman hal tersebut lalu menyuruh para ibu tadi menutup aurat.

Sebab itu, Imam Syafie berkata, orang yang beramal tanpa ilmu adalah ibarat orang gila. Dalam Islam, kita tidak boleh main ikut-ikut atau rasa-rasa. Agama bukan macam kita buat kek.

Apabila menutup aurat pula bukan bermaksud menutup kulit sahaja. Kaum wanita tidak boleh memakai pakaian yang nipis sehingga masih menampakkan bentuk tubuh. Atau pun memakai tudung tetapi berbaju lengan pendek. Atau memakai wig sebab masih menampakkan leher dan telinga kepada yang bukan mahram. Kain yang menutup itu pula tidak boleh yang ketat.

Dalam Islam, apabila Allah mengharam atau menghalalkan sesuatu itu ia tujukan kepada semua. Tidak ada pengecualian walau kepada ulama, ustaz atau pun ustazah.

Sebagai umat Islam, kita kena patuh. Hatta, jika mendedah aurat itu tidak menaikkan syahwat orang yang melihatnya, ia masih wajib ditutup.

Walaupun bapa dan anak perempuan adalah mahram, tetapi dalam sesetengah keadaan dilarang untuk anak perempuan memeluk bapanya. Apakah hikmah di sini?

DR. MASHITAH: Islam ini mesti dilaksanakan bersama-sama menggunakan budi bicara dan akal. Inilah juga antara sebab al-Quran diturunkan iaitu kepada orang-orang yang berakal.

Walaupun hubungan antara bapa dan anak perempuan adalah mahram tetapi jika sesuatu perbuatan itu boleh mendatangkan fitnah maka kita perlu berwaspada.

Jika perbuatan bapa memeluk anak perempuannya itu agak keterlaluan sehingga boleh membawa fitnah ia wajar dielakkan.

Dalam Islam, perbuatan yang halal pun jika tidak mendatangkan kebaikan kita perlu berjaga-jaga dan mengambil langkah pencegahan.

Ada di antara kita yang gagal melawan nafsu apabila ‘mengorbankan’ aurat demi sesuatu pekerjaan atau mendapat ganjaran. Apakah tahap keimanan golongan begini?

DR. MASHITAH: Orang yang beriman percaya kepada apabila kita taat kepada Allah, kita akan beroleh keberkatan. Sebab itu, jangan kita lupa yang bekerja juga adalah sebahagian usaha kita mencari keberkatan. Ia mestilah dilakukan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak.

Seperkara lagi, masyarakat tidak perlu takut rezeki tidak datang jika mereka tidak mendedahkan aurat.

Keadaan masyarakat Islam hari ini sudah banyak berbeza. Fahaman kepada agama semakin baik. Hasilnya kita melihat, masyarakat mahu mendekati agama. Permintaan terhadap produk berlabel Islam semakin bertambah.

Contohnya, perbankan Islam dan juga sistem Takaful. Sebab itu, kita tidak perlu ragu-ragu untuk melaksanakan apa sahaja yang Allah perintah.

Ada juga pandangan bahawa, menutup aurat itu tidak penting, yang penting ialah apa yang terkandung dalam hati. Benarkah pandangan begini?

DR. MASHITAH: Pandangan sedemikian kurang tepat. Sebenarnya, kedua-dua aspek itu penting kerana Islam menekankan kepada keseimbangan dunia dan akhirat.

Sebab itulah, kerajaan menekankan aspek pembangunan modal insan seperti yang terkandung dalam pendekatan Islam hadhari.

Hati itu penting kerana Allah menilai para hamba-Nya berdasarkan keimanan yang terkandung di dalamnya.

Dari segi manusia, kita menilai seseorang itu berdasarkan aspek luaran dan ini termasuklah tatacara berpakaian.

Pakaian adalah satu keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan.

Apakah perancangan untuk memandu golongan remaja terutamanya dalam memberi pemahaman tentang bab aurat ini?

DR. MASHITAH: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada bercadang mewujudkan hiburan Islam yang mengetengahkan artis-artis wanita yang menutup aurat.

Ini sedang diusahakan melalui perkampungan Islam hadhari sebagai hiburan alternatif untuk umat Islam.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga amat menekankan aspek ini.

Selain itu, kita juga mahu meluaskan skop dakwah Islam supaya program agama itu bukan sahaja Forum Perdana atau ceramah sahaja.

Saturday, March 3, 2007

Sabda Rasulullah s.a.w

Wasiat yang berguna
DARIPADA Ibni Abbas katanya: Pada suatu hari saya berada di belakang Nabi (s.a.w). Maka sabdanya: Hai budak! Aku mahu ajar kamu beberapa kalimah: Awasilah Allah, Dia pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah pasti Dia berada di sampingmu. Bila engkau minta, maka mintalah Allah, bila mahu pertolongan, minta tolonglah daripada Allah. Ketahuilah sekiranya umat manusia bekerjasama menolongmu, mereka tidak dapat menolong melainkan apa yang ditulis Allah dan sekiranya mereka bekerjasama untuk menyakitimu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain dari apa yang telah disuratkan Allah. Pena sudah diangkat dan buku sudah ditutup. (Tarmizi)

Pengertian

Nabi kita meninggalkan beberapa pesanan yang baik, iaitu menjaga dan menjunjung suruhan Allah semoga Allah memeliharanya. Mereka yang mematuhi perintah Allah dan sentiasa bergantung teguh dengan-Nya, Allah akan berada di pihaknya. Manusia tidak mampu melakukan sesuatu terhadapnya selain apa yang ditetapkan dan diluluskan-Nya dari azali. Mereka tidak akan dapat menentang qadak dan takdir Allah, segala-galanya sudah tercatat dari azali lagi.

Kesimpulan

Hendaklah mendidik anak- anak dengan akidah dan pengajaran agama dan asuhan yang baik. Tanamkan dalam jiwa mereka benih keimanan dan rasa kesedaran sejak kecil lagi.

Monday, February 19, 2007

Nabi s.a w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan dua Malaikat untuk menulis segala apa yang dilakukan atau dituturkan oleh seseorang hamba-Nya (satu disebelah kanannya dan yang satu lagi disebelah kirinya); kemudian apabila orang itu mati….maka Tuhan perintahkan kedua Malaikat itu dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hamba-Ku itu serta hendaklah kamu mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir hingga ke hari qiamat dan hendaklah kamu menulis pahalanya untuk hamba-Ku itu." Dan pada satu Athar, ada disebutkan bahawa kedua Malaikat itu melaknat si mati hingga ke hari Kiamat - jika ia seoarang kafir.
Anas r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Meskipun Allah S.W.T telah menugaskan malaikat-malaikat untuk menulis surat amal manusia namun ia bukanlah menafikan sifat Allah yang Maha Mengetahui segala yang lahir dan yang tersembunyi melainkan tujuannya adalah untuk melahirkan kebesaran kerajaan-Nya dan keadilan pemerintah-Nya.
ii) Gunanya surat (daftar) amal seseorang manusia itu adalah supaya ia dapat dilihat dan dibaca oleh orang itu sendiri pada hari kiamat kelak.
iii) Sesungguhnya malaikat ini tidak akan berpisah meskipun seseorang itu telah meninggal dunia, mereka diperintahkan Allah supaya tinggal tetap bersama seseorang itu di kubur, bertasbih, bertahmid dan berzikir hingga hari kiamat di mana pahala amal mereka akan ditulis dalam surat amal si mati itu.
iv) Hal ini dikecualikan bagi orang-orang kafir di mana para malaikat melaknat mereka hingga ke hari kiamat.

from JAKIM 31.3.2003

Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi.
'Uthman bin 'Affan r.a

from JAKIM 21.1.2003

Tertib Solat rasulullah S.a.w

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w memulai solat baginda dengan takbir. Sesudah itu baginda membaca surah al-Fatihah. Apabila baginda rukuk, kepalanya tidak mendongak dan tidak pula terlalu menunduk, tetapi pertengahan (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung). Apabila baginda bangkit dari rukuk, baginda tidak sujud sebelum baginda berdiri lurus lebih dahulu. Apabila baginda mengangkat kepala dari sujud (pertama) baginda tidak sujud (kedua) sebelum duduknya antara kedua sujud itu tepat benar lebih dahulu. Tiap-tiap selesai dua rakaat baginda membaca Tahiyat sambil duduk menghimpit kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Baginda melarang duduk seperti syaitan duduk atau seperti binatang buas duduk. Dan baginda menyudahi solat dengan membaca salam.”
(Muslim)

Huraian
Untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardhu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya, memastikan agar solat dilaksanakan mengikut cara yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w. Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi pernah bersabda yang maksudnya, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat.

from JAKIM 17.2.07