Saturday, August 11, 2007

Sembahyang kunci syurga

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya tahu dan faham sembahyang itu wajib. Tetapi, semakin tua, saya terasa semakin malas hendak sembahyang. Kadang-kadang balik kerja, selepas minum sedikit, saya rehat dan terus terlelap sehingga meninggalkan sembahyang Isyak. Begitu juga dengan sembahyang Asar, yang selalu tertinggal kerana saya berada di tengah jalan.

Kadang-kadang saya rasa kalah dengan sikap saya sendiri, yang dibebani dengan kerja yang begitu banyak dan jarak yang begitu jauh dari tempat tinggal dengan tempat kerja. Tolong beri saya satu motivasi yang dapat menolong saya supaya tidak meninggalkan sembahyang. Terima kasih

– IHSAN, KUCHING

JAWAPAN: Saudara perlu sedar bahawa sembahyang bukan hanya merupakan ibadah yang baik. Apabila saudara katakan sembahyang itu ibadah yang baik, ia seolah-olah tidak ubah seperti amalan biasa lain. Saudara perlu memahami, sembahyang adalah rukun kedua daripada Rukun Islam, yang wajib diamalkan oleh setiap orang Islam yang mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu cukup umur, berakal, suci daripada haid dan nifas, sejahtera mata dan telinga.

Tidak wajib sembahyang orang yang buta dan pekak yang berlaku sejak dilahirkan, atau sebelum mumaiyiz biarpun ia berupaya berkata-kata. Andainya ini berlaku selepas mumaiyiz, maka dia wajib sembahyang. Syarat lain ialah sampai seru kepadanya.

Ibadah ini mempunyai waktu-waktu tertentu. Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang meninggalkan sembahyang bererti dia telah merobohkan agamanya. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang amalan-amalan yang afdal. Baginda menjawab amalan yang afdal itu ialah sembahyang pada waktunya. Baginda juga ada bersabda yang bermaksud: Barangsiapa memelihara baik lima solat fardu dengan menyempurnakan wuduknya dan menjaga waktu-waktunya, maka hal itu akan menjadi nur (cahaya) dan burhan (hujah atau bukti) baginya pada hari kiamat kelak. Dan barangsiapa melalaikannya, mereka akan dikumpulkan kelak bersama Firaun dan Haman. Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Tirmizi serta Nasaiy.

Saudara juga perlu ingat bahawa sembahyang itu adalah kunci syurga. Demikianlah keterangan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Bayhaqi. Tidak ada sesuatu yang telah difardukan oleh Allah s.w.t. ke atas hamba-hamba-Nya yang lebih disukai oleh-Nya setelah tauhid, daripada solat. Seandainya ada sesuatu yang disukainya lebih daripada solat nescaya dengan itu para malaikat akan beribadah kepada-Nya. Namun di antara para malaikat itu ada yang terus-menerus rukuk, ada yang terus-menerus sujud, berdiri ataupun duduk.

Ibadah sembahyang merupakan ibadah yang difardukan kepada Muhammad secara terus, bukan melalui perantaraan malaikat Jiibrail, seperti wahyu-wahyu lain. Demikianlah gambaran betapa besarnya wahyu Allah mengenai sembahyang. Allah ada berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Allah menjelaskan bahawa orang yang berupaya melakukan sembahyang seperti yang disyariatkan, dengan rasa ikhlas, semata-mata kerana Allah, sempurna rukun dan syarat yang disertai dengan rasa khusyuk, sembahyang yang dilakukannya itu akan membentuk sahsiah baik, terpelihara daripada segala dosa-dosa kecil yang berpanjangan, juga dosa- dosa besar.

Ini memberi pengertian bahawa orang yang tidak melakukan sembahyang dengan baik, mereka tidak berupaya menghindarkan diri daripada kejahatan.

Melakukan sembahyang lima waktu itu tidak ubah seperti sebuah sungai berair tawar yang terdapat di hadapan pintu rumah seseorang. Orang berkenaan mandi di dalam sungai tadi lima kali sehari. Tentulah badannya bersih, tidak ada yang tinggal kekotoran daripada tubuhnya. Sembahyang lima kali sehari semalam akan menghilangkan dosa-dosa seperti air sungai yang menghilangkan kekotoran tubuh manusia.

Sesungguhnya sembahyang fardu itu adalah penghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh seseorang di antara sembahyang fardu tadi selagi orang berkenaan tidak melakukan dosa-dosa besar. Pemisah di antara orang yang beriman dengan orang yang munafik ialah sembahyang Isyak dan Subuh berjemaah (di Masjid Nabawi). Mereka tidak sanggup atau amat berat melakukannya.

Keterangan-keterangan di atas yang dijelaskan oleh hadis-hadis nabi memperlihatkan betapa pentingnya sembahyang.

Hal demikian wajar disedari dan difahami. Ia tidak seharusnya diabaikan oleh orang Islam dan merasakan “seolah-olah sembahyang itu tidak dapat dilakukan setiap masa.” Jangan jadikan kawan-kawan yang mengabaikan sembahyang itu sebagai sumber inspirasi untuk melakukan kemungkaran dengan meninggalkan sembahyang.

Jangan saudara menjadikan amalan manusia yang meninggalkan sembahyang itu sebagai hukum untuk membuktikan bahawa sembahyang itu satu ibadah yang tidak berupaya untuk dipikul oleh manusia.

Memang disedari bahawa bukan mudah untuk mendidik diri bersembahyang, apatah lagi apabila dilakukan terus-menerus, sejak seseorang itu baligh sehinggalah ia meninggal dunia, selagi akalnya waras.

Sembahyang memerlukan kesabaran bagi orang yang ingin mendidik. Orang yang hendak melakukannya perlukan ilmu yang berkaitan dengannya, tahu tujuan kenapa sembahyang difardukan, tahu kesan-kesan hasil daripada melakukannya dan lain-lain perkara yang berkaitan yang mesti diketahui. Yang paling penting ialah mendidik seseorang itu agar melakukannya sejak kecil lagi.

Tanpa pemahaman hal-hal yang berkaitan dengan sembahyang, seseorang itu akan melakukan hanya sambil lewa ataupun melakukannya apabila dirasakan perlu.

Telah dijelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Musuh utama manusia ialah iblis dan syaitan. Dan untuk memperoleh sifat khusyuk sembahyang, setiap orang perlu memahami bahawa iblis dan syaitan itu memang sentiasa berusaha menyekat manusia daripada bersembahyang.

Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia, menipu manusia yang akhirnya dapat dibawa ke neraka. Oleh kerana sembahyang itu mencegah pelakunya daripada kejahatan dan kemungkaran, maka memang lojik sekiranya dikatakan makhluk ini memainkan peranan melalaikan manusia daripada melakukan sembahyang terus-menerus, terutamanya pada sembahyang yang selalunya manusia banyak kerja atau malas melakukannya, iaitu Asar dan Isyak.

Syaitan itu terbahagi dua, iaitu yang tidak dapat dilihat dengan mata zahir, yang mendatangkan rasa waswas ketika sembahyang yang mendorong manusia agar melengah-lengahkan sembahyang atau yang mendatangkan pelbagai ingatan dan gambaran ketika seseorang itu sembahyang menyebabkan timbulnya pelbagai khayalan atau leka.

Syaitan manusia pula ialah manusia seperti kita, tetapi memainkan peranan seperti syaitan, yang menyebabkan seseorang itu lupa mendirikan sembahyang.

Ada orang yang insaf dan taat menjalankan perintah Allah apabila dia sakit atau melihat manusia mati – teman, saudara atau sesiapa yang hampir dengannya. Kesedaran yang timbul daripada peristiwa atau teladan seperti ini selalunya tidak lama. Ia akan lupakan Allah semula apabila segala ingatan itu luntur, yang akan luput daripada ingatan sedikit demi sedikit.

Orang muda memang sering lupa diri daripada mengingati Allah, berbanding mereka yang meningkat tua. Ini terjadi kerana manusia muda sering merasakan dirinya masih mempunyai ruang masa yang banyak pada masa hadapan untuk beribadah.

Orang tua pula merasakan bahawa setiap langkah yang diatur memberi erti bahawa nyawanya semakin pendek. Kerana itulah di mana-mana sekalipun, orang tua lebih banyak menghuni masjid berbanding orang muda. Orang tua juga lebih banyak masa atau sudah berhenti kerja. Mereka juga perlukan rehat yang banyak dalam menghayati sisa-sisa hidup. Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan alasan meninggalkan sembahyang atau meninggalkan sebahagian daripadanya.

Memang semua orang menerima gangguan, tetapi kesannya adalah berbeza, bergantung setakat mana kekuatan iman seseorang dan usaha mengatasi godaan.